من
علا مات الاعتماد على العمل نقصان الر جاء عند وجو دالز لل
“SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR)
ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA
KESALAHAN.”
Imam Ibnu
Athaillah memuliakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada
hakikat amal. Amal boleh dibagikan kepada dua jenis yaitu perbuatan zahir dan
perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa
orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung
dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeda
antara seorang dengan seorang yang lain.
Jika amalan zahir
itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan
zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan
bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas
daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang
menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa
membawa sembarang amal zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah
s.w.t tanpa sembarang takwil atau tuntutan.
Hati yang demikian
tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun,
sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan
tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini
tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan
manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut
kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa saja yang mengenai
Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sepadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang
arif tidak menjadikan amalan sebagai sepadan yang mengongkong ketuhanan Allah
s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk.
Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang.
Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang
atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung
rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir maupun yang batin.
Manusia yang kuat
bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan
mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah
akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya
menentukan apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat.
Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang
pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan
semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu
bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri
apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu
Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita
terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian
membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu
tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf
dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta
pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan
Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas
menceritakan bahwa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan
pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan
kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan
hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak
mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini
bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu
beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan
memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah
s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti
terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan
terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian
hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahwa apabila mereka
sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang
mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak
beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeda. Pergantungan
mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan
usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan
pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang
setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal
mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah
mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan
Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat
dari-Nya.
Jika orang kafir
tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan
sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya
menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerena
kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin
mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di
dunia. Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat
mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau
pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada
bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang
dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan
hidupnya.
Sebahagian kaum
muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat.
Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki surga, juga bagi
menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat
lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka.
Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka
sentiasa selesai dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan.
Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan
gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang
paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan,
mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka
sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.
Apabila rohani
seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya
mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah
duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan karuniaan Allah s.w.t
seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya
yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang
kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang
sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang
biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia
merasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan
mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada golongan
yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar
kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada
keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang
kepada amal zahir, yaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar.
Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk
mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat
permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan
berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka
lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah
s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan
mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.
Dalam perkara
bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada
ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan
sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang
menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan
ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada
ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan
keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya,
sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih
tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya kecuali
beserta Allah.
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat
itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
Orang yang di
dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang
dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahwa semua amalan tersebut adalah
karuniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari
Allah s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t
berfirman:
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku
bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya)
sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada
dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi
masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha
Pemurah”.( Ayat 40 : Surah an-Naml )
“Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara)
melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang
dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang
ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan
orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab siksa yang tidak
terperi sakitnya.” ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya
adalah karuniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada
takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan
makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam
ariffin yaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi
bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal
ibadat.
Orang yang masuk
ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan
senantiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu.
Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal perjalanan
menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia
melihat amalan itu sebagai kendaraan yang boleh membawanya hampir dengan Allah
s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam
perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap
amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab.
Pandangannya beralih kepada karuniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya
adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga
kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali
dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil,
serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana
dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya,
pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang
menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang
sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan
berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.