شوابق
الهمم لا تحرق اسوارالاقدار
KEKUATAN SEMANGAT (AZAM, CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA
MEMECAHKAN BENTENG TAKDIR.
Kalam Hikmat yang pertama menyentuh tentang hakikat amal yang
membawa kepada pengertian tentang amal zahir dan amal batin. Ia mengajak kita
memerhatikan amal batin (suasana hati) berhubung dengan amal zahir yang kita
lakukan. Sebagai manusia biasa hati kita cenderung untuk menaruh harapan dan
meletakkan pergantungan kepada keberkesanan amal zahir. Hikmat kedua
memperjelaskan mengenainya dengan membuka pandangan kita kepada suasana asbab
dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi kerana seseorang itu melihat kepada
keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat. Apabila terlepas daripada waham
sebab musabab baharulah seseorang itu masuk kepada suasana tajrid.
Dua Hikmat yang lalu telah memberi pendidikan yang halus kepada
jiwa. Seseorang itu mendapat kefahaman bahawa bersandar kepada amal bukanlah
jalannya. Pengertian yang demikian melahirkan kecenderungan untuk menyerah
bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Sikap menyerah tanpa persediaan kerohanian
boleh menggoncangkan iman. Agar orang yang sedang meninggi semangatnya tidak
terkeliru memilih jalan, dia diberi pengertian mengenai kedudukan asbab dan tajrid. Pemahaman tentang
makam asbab dan tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar menyerah kepada
Allah s.w.t dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah dengan cara yang
melulu.
Hikmat ke tiga ini pula mengajak kita merenung kepada kekuatan
benteng takdir yang memagar segala sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli
tajrid, kita dapati ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan
keberkesanan kepada sesuatu sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini
bermakna semua kejadian dan segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di
dalam pentadbiran Allah s.w.t. Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap
makhluk-Nya. Urusan ketuhanan yang menguasai, mengatur dan mengurus atau
suasana pentadbiran Allah s.w.t itu dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang
tidak dikuasai, diatur dan diurus oleh Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu
yang tidak termasuk di dalam takdir.
Manusia terhijab daripada memandang kepada takdir kerana waham
sebab musabab. Kedirian seseorang menjadi alat sebab musabab yang paling
berkesan menghijab pandangan hati daripada melihat kepada takdir. Keinginan,
cita-cita, angan-angan, semangat, akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada
melihat kepada kekuasaan, aturan dan urusan Tuhan. Hijab kedirian itu jika
disimpulkan ia boleh dilihat sebagai hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang
melahirkan keinginan, cita-cita, angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera
nafsu, menimbang, merancang dan mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang
dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak
kepada kebaikan itu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang buruk, akal itu juga yang
bergerak kepada keburukan. Dalam banyak perkara akal tunduk kepada arahan
nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu. Oleh sebab itulah di dalam menundukkan
nafsu tidak boleh meminta pertolongan akal.
Dalam proses memperolehi penyerahan secara menyeluruh kepada Allah
s.w.t terlebih dahulu akal dan nafsu perlu ditundukkan kepada kekuatan takdir.
Akal mesti mengakui kelemahannya di dalam membuka simpulan takdir. Nafsu mesti
menerima hakikat kelemahan akal dalam perkara tersebut dan ikut tunduk
bersama-samanya. Bila nafsu dan akal sudah tunduk baharulah hati boleh beriman
dengan sebenarnya kepada takdir. Beriman kepada takdir seharusnya melahirkan penyerahan secara
berpengetahuan bukan menyerah kepada kejahilan. Orang yang jahil tentang hukum
dan perjalanan takdir tidak dapat berserah diri dengan sebenarnya kepada Allah
s.w.t kerana disebalik kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan akal untuk
menimbulkan keraguan terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan
hakikat takdir itu masih terikat dengan
sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia masih melihat bahawa makhluk boleh
mendatangkan kesan kepada kehidupannya. Tindakan orang lain dan
kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang demikian menyebabkan
dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri kepada Tuhan. Sekiranya dia
memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan dalam perkara takdir tentu dia dapat
bertahan dengan iman. Hadis menceritakan tentang takdir:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah,
apakah iman?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah,
malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga
engkau beriman dengan Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah
dari Allah s.w.t”. { Maksud Hadis }
Pandangan kita sering keliru dalam memandang kepada takdir yang
berlaku. Kita dikelirukan oleh istilah-istilah yang biasa kita dengar Kita
cenderung untuk merasakan seolah-olah Allah s.w.t hanya menentukan yang asas
sahaja sementara yang halus-halus ditentukan-Nya kemudian iaitu seolah-olah
Dia Melihat dan Mengkaji perkara yang
berbangkit baharulah Dia membuat keputusan. Kita merasakan apabila kita
berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah perkara dasar yang telah
Allah s.w.t tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita itu dan bersimpati dengan
kita lalu Dia pun membuat ketentuan baharu supaya terlaksana takdir baharu yang
sesuai dengan perjuangan kita. Kita merasakan kehendak dan tadbir kita berada
di hadapan sementara Kehendak dan Tadbir Allah s.w.t mengikut di belakang.
Anggapan dan perasaan yang demikian boleh membawa kepada kesesatan dan kederhakaan yang besar kerana kita
meletakkan diri kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada taraf
hamba yang menurut telunjuk kita. Bagi menjauhkan diri daripada kesesatan dan
kederhakaan yang besar itu kita perlu sangat memahami soal sunnatullah atau
ketentuan Allah s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut ketentuan dan pentadbiran
Allah s.w.t. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Ilmu Allah s.w.t meliputi
yang awal dan yang akhir, yang azali dan yang abadi. Apa yang dizahirkan dan
apa yang terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.
Artinya:
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak
juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab
(pengetahuan Kami) sebelum Kami
menjadikannya; sesungguhnya yang
demikian itu adalah mudah bagi Allah. (QS. Surah al-Hadiid Ayat 22)
Artinya: “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah
kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah
Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; - (QS. Surah al-Mulk Ayat 1)
Artinya:
Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan
hidayah petunjuk (ke jalan
keselamatannya dan kesempurnaannya); QS. Surah al-A’laa Ayat 3)
Segala perkara, tidak kira apa istilah yang digunakan, adalah termasuk dalam
ketentuan Allah s.w.t. Apa yang kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar,
doa, kekeramatan, mukjizat dan lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t.
Pagar takdir mengelilingi segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang
mampu menembusi benteng takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan
ikhtiar melainkan perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir.
Tidak berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir
untuknya yang sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang
didoakan juga tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku
kekeramatan dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir
yang tidak menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu
nafas atau berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan
urusan Allah s.w.t pada azali.
انا
للهوانا اليه راجعون
Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali.
Segala perkara datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan
ketentuan tanpa campurtangan sesiapa pun. Segala perkara kembali kepada-Nya
kerana Dialah yang mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapa pun
mampu menyekat urusan-Nya.
Apabila sudah difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan
segala-galanya adalah takdir yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang
itu tidak lagi berasa bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri.
Ikhtiar dan berserah diri sama-sama berada di dalam pagar takdir. Jika
seseorang menyedari makamnya sama ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu
bertindak sesuai dengan makamnya. Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih
menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa juga hasil yang muncul dari usahanya
diterimanya dengan senang hati kerana dia tahu hasil itu juga adalah takdir
yang ditadbir oleh Allah s.w.t. Jika hasilnya baik dia akan bersyukur kerana
dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari Allah s.w.t. Jika tidak ada
ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia mendapat kebaikan. Jika hasil
yang buruk pula sampai kepadanya dia akan bersabar kerana dia tahu apa yang
datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada usaha
dan ikhtiarnya. Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan seleranya datang kepadanya tetapi usaha baik yang
dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah s.w.t sekiranya dia bersabar
dan rela dengan apa juga takdir yang sampai kepadanya itu. Ahli tajrid pula hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan
tetap yakin dengan jaminan Allah s.w.t. Dia tidak harus merungut jika terjadi
kekurangan pada rezekinya atau kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya
adalah takdir yang sesuai dengan apa yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang
sampai kepadanya adalah juga ketentuan Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan
atau kesusahan maka ia juga masih lagi di dalam pagar takdir yang ditentukan
oleh Allah s.w.t. Begitu juga jika terjadi keberkatan dan kekeramatan pada
dirinya dia harus melihat itu sebagai takdir yang menjadi bahagiannya.
Persoalan takdir berkait
rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan daripada yang banyak kepada
yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang. Setelah ditanam benih yang
kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan beberapa banyak buah
kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk menumbuhkan pokok-pokok
kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang yang bermula dari satu
biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang sejuta tidak ada bezanya
dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama itu bukan sahaja
berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah ia mampu mengeluarkan
semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya boleh mengeluarkan kacang,
tidak benda lain.
Kajian akal boleh memperakui
bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat kacang. Zat kacang pada
benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta malah ia adalah
zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah ‘bergerak’ pada semua
kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang, tidak menjadi benda lain.
Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal pertumbuhan kacang namun,
zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana kacang. Ia tidak berupa dan
tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah dengan mana-mana
kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat kacang ini dinamakan
“Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang mentadbir dan mengawal
seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga kesudahan, sampai ke hari
kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran Allah s.w.t yang Dia telah
tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja yang dikuasai oleh Hakikat
Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.
Suasana pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal
kewujudan keturunan manusia pula dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat
Insan”. Allah s.w.t telah menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s
menurut Hakikat Insan yang ada pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah
disimpankan bakat dan keupayaan untuk melahirkan semua keturunan manusia
sehingga hari kiamat. Manusia akan tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang
menguasainya adalah Hakikat Manusia.
Pada Hakikat Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu
manusia dan hubungkaitnya dengan segala kejadian alam yang lain. Seorang
manusia yang berhakikatkan “Hakikat Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia
yang berhakikatkan “Hakikat Wali” pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran
Allah s.w.t atau hakikat itu menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh
bekerja mempamerkan segala maklumat yang ada dengan hakikat yang menguasainya.
Kerja roh adalah menjalankan urusan Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang
ada pada sisi Allah s.w.t.
Artinya: Dan katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. (QS.
Surah Al-Israa’ Ayat 85)
Pentadbiran Allah s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada
mempamerkan ketentuan-Nya yang berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan
hakikat sesuatu sejak azali lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah
s.w.t. Segala sesuatu dikawal oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak
boleh meminta menjadi kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia.
Manusia tidak boleh meminta menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan
oleh Allah s.w.t.